Oleh: Kadir Edison
KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melakukan pemantauan dan naziran terhadap 38 stesen minyak di seluruh negara bermula bulan depan.
Ia selepas stesen minyak terbabit dikesan mencatat jualan minyak diesel dan RON 95 pada kadar yang tinggi dan luar biasa.
Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pendekatan itu bagi mengekang aktiviti penyeludupan selain menggalak pengusaha stesen minyak memantau aktiviti mencurigakan di premis mereka.
Katanya, kebanyakan 38 stesen minyak berkenaan terletak berdekatan sempadan negara termasuk 14 di Sabah dan Sarawak.
“Kita mahu mereka bertanggungjawab kerana kerana mereka perlu memberikan maklumat kepada kita sekiranya ada unsur-unsur kenderaan yang di modifiksi contohnya untuk tujuan belian berulang.
“Begitu juga kepada syarikat-syarikat minyak mereka mempunyai rekod penjualan di stesen minyak yang membekalkan minyak daripada syarikat minyak tertentu, kita juga menuntut kerjasama daripada syarikat minyak ini untuk tampil memberikan laporan kepada kita,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Karnival KPDN Peringkat Zon Sarawak di sini.
Melalui Ops Tiris 3.0 bermula 1 januari hingga 19 september lalu, KPDN melakukan lebih 31 ribu pemeriksaan di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 2,121 kes dikesan membabitkan nilai rampasan RM81 juta dengan 531 individu ditahan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.