comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN mohon JPA pertimbang isi kekosongan perjawatan penguat kuasa

FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempertimbang permohonan supaya mengisi kekosongan perjawatan penguat kuasa kementerian mengikut waran perjawatan sedia ada.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, cabaran dan isu semasa termasuk pelaksanaan pendekatan penyasaran semula subsidi menuntut aktiviti penguatkuasaan dengan kekuatan anggota di tahap maksimum.

“Kita tahu ada pelantikan KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam) baharu. Pada peringkat ini kita bukan memohon untuk perjawatan (penguat kuasa) baharu, namun kita mengharapkan JPA untuk mempertimbangkan supaya kita dapat membuat pengisian yang maksimum terhadap perjawatan sedia ada.

“Jadi kita akan merayu dan mengadakan perjumpaan dengan JPA untuk kebenaran membuat pengisian perjawatan sedia ada dalam waran,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Amanat Tahun Baharu KPDN 2024, di Putrajaya.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilantik sebagai KPPA baharu berkuat kuasa 9 Januari lalu, menggantikan Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed.

Mengulas lanjut, Daruk Armizan berkata, ketika ini terdapat kira-kira 2,200 anggota penguat kuasa di seluruh negara untuk menguatkuasakan 12 akta khusus untuk Bahagian Penguat Kuasa KPDN.

FOTO: NSTP

“Contohnya dalam menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, apabila harga diapungkan, risiko kartel dan risiko pencatutan akan berlaku. Jadi kita memerlukan penguatkuasaan,” katanya.

Terdahulu dalam amanatnya, beliau melontarkan empat teras strategik KPDN bagi tahun ini iaitu memperkukuh ketangkasan penguatkuasaan, memacu kemampanan ekonomi domestik serta membina daya upaya hak dan tanggungjawab kepenggunaan.

Teras lain termasuk merekayasa Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) sebagai pemangkin pendekatan ‘whole of nation’ dalam menangani kos sara hidup.

Justeru, bagi menggerakkan teras berkenaan ujarnya, sesi pemukiman KPDN akan diadakan selama tiga hari mulai esok untuk membuat penilaian dan mengenal pasti nilai tambah kepada program serta inisiatif sedia ada, sekali gus menggariskan pendekatan baharu yang lebih berkesan.

“Ia juga merupakan persiapan untuk sesi permukiman Jemaah Menteri yang akan berlangsung pada 17 dan 18 Januari ini. Jadi penting untuk kita melaksanakan persiapan di peringkat KPDN untuk kita bentangkan dalam sesi pemukiman Jemaah Menteri yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya.

Loading...
Terkini