Tumpuan :
Nasional

KPDN Pahang serbu 2 premis jadi stor simpanan barang kawalan bersubsidi

Foto: Facebook KPDN Cawangan Bera

KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang melakukan serbuan terhadap sebuah restoran dan rumah yang disyaki dijadikan lokasi penyimpanan barang kawalan bersubsidi di Triang, Bera pagi tadi.

Pengarahnya Jezlily Jamaluddin berkata serbuan serentak yang dilakukan kira-kira 10 pagi itu hasil aduan daripada orang awam berhubung kegiatan itu.

Beliau berkata hasil semakan mendapati bekalan gula bertapis kasar di premis restoran dan minyak masak peket bersubsidi di dalam kediaman pemilik restoran melebihi had simpanan dibenarkan, selain pemilik premis gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan bagi pemilikan barang kawalan bersubsidi berkenaan.

“Sebanyak 205 kilogram (kg) minyak masa peket bersubsidi dan 20kg gula putih bertapis kasar serta dokumen perniagaan berkaitan telah disita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dua kertas siasatan dibuka dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan melebihi had disyaratkan.

“KPDN memberi amaran keras terhadap mana-mana individu atau syarikat berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan,” katanya.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini