Oleh: Safwan Sawi
BEAUFORT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkasakan penguatkuasaan dan pemantauan untuk memastikan bekalan ayam mencukupi dan dijual dengan harga berpatutan khususnya di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Pemangku Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata selain tiga pendekatan yang telah beliau umumkan sebelum ini, risiko kartel ayam juga tidak boleh diambil ringan yang cuba diambil kesempatan pihak tidak bertanggungjawab dalam berdepan situasi harga ayam semasa ketika ini.
“Begitu juga apabila harga itu diapungkan pastinya akan timbul risiko kartel apa yang dimaksudkan kartel itu wujudnya pakatan daripada industri tertentu pakatan dari aspek pakatan harga dia kawal harga sama-sama kita pakat jangan terlampau kasi turun.
“Yang kedua pakatan dari segi pengeluaran we don’t produce banyak supaya harga naik, ketiga pakatan daripada aspek pasaran bahagi-bahagi jadi kau di sini jadi tidak ada persaingan jadi pakatan ini juga merupakan satu risiko.”
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau Program Jualan Rahmah (PJR) Sabah, Sarawak dan Labuan di Klias sini hari ini.
Katanya, kementerian telah menjalankan beberapa pendekatan serta-merta bagi memantau isu harga ayam susulan penamatan subsidi dan kawalan harga yang berkuat kuasa Rabu lepas.
“Langkah itu ialah meneruskan aspek pemantauan dan penguatkuasaan dengan mengguna pakai Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, selain mempertimbangkan penggunaan Akta Persaingan 2010 jika perlu. Seterusnya, kementerian akan melaksanakan mitigasi bersasar mengikut kawasan memandangkan ada tempat tertentu yang kita lihat mempunyai isu.
“Kementerian juga akan meneruskan program intervensi khususnya di kawasan yang terdapat isu penawaran harga ayam melebihi RM9.40 sekilogram yang pernah ditetapkan sebelum ini khususnya di Sabah, Sarawak dan Labuan yang sememangnya harga ayam lebih mahal dijual di kawasan berkenaan,” katanya.
Armizan berkata KPDN juga akan menambah jumlah pelaksanaan PJR di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi bulan ini dan Disember.
“KPDN akan memastikan penawaran bekalan ayam ditambah dengan harga jualan Rahmah pada kadar diskaun antara 10 hingga 30 peratus. Pendekatan ini diambil sebagai satu daripada strategi intervensi untuk membolehkan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana mendapat akses kepada bekalan jualan ayam pada harga yang berpatutan.
Beliau berkata penetapan harga kawalan sementara ayam super sebelum 1 Nov 2023 bagi negeri Sabah melibatkan dua harga iaitu RM12/kg bagi Pantai Barat dan RM12.30/kg di Pantai Timur.
“Di Sarawak, penetapan harga kawalan sementara ayam super sebelum ini adalah berbeza mengikut zon dengan kadar antara RM10.80/kg hingga RM13.90/kg. Sementara itu, harga kawalan ayam super bagi Labuan ialah RM12.30/kg.
“Dengan penamatan langkah penetapan harga kawalan sementara, KPDN telah melaksanakan pemantauan harian di pelbagai premis di seluruh negara. Bagi Sabah, hasil pemantauan mendapati harga ayam super di pasaran adalah antara RM11.49/kg hingga RM13.90/kg.
“Di Sarawak pula harganya dalam lingkungan RM8.90/kg hingga RM18.90/kg, manakala di Labuan antara RM9/kg hingga RM13.90/kg,” katanya.