comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN perluas SKDS 2.0 dengan tambahan 14 jenis pengangkutan darat barangan

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluaskan projek rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 Fasa Dua kepada 14 jenis kenderaan sektor pengangkutan darat barangan mulai esok.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali menjelaskan penambahan itu meningkatkan jumlah keseluruhan kenderaan barangan yang layak untuk mendapatkan diesel bersubsidi di bawah SKDS 2.0 kepada 23 jenis kenderaan barangan.

“Antara faktor yang diambilkira adalah daripada segi kuantiti penggunaan diesel oleh pengangkutan ini. Selain itu, pengangkutan ini terkait dengan perkhidmatan sedia ada dari segi pengangkutan awam dan barangan keperluan rakyat khususnya produk akhir.”

“Ini akan membantu mengurangkan impak atau kesan kepada rakyat. Maka kita perlu merangkumkan jenis-jenis kenderaan ini dalam SDS kita,” katanya.

Kenderaan itu membabitkan lori rigid (curtainsider), lori katering makanan, lori rigid (hasil pertanian), lori tangki rigid (minuman), lori rigid (kandang haiwan), semi (panel van), lori rigid (kombinasi).

Kenderaan lain termasuk bas perkhidmatan bergerak, lori rigid (open platform), van perkhidmatan bergerak, bas food catering, lori rigid (perkhidmatan bergerak), van food catering dan lori rigid (sampah).

Datuk Armizan menambah, proses kelulusan permohonan juga dipermudahkan dan dilakukan dalam tempoh satu hari bagi kemudahan syarikat terlibat.

“Namun, kebimbangan kita adalah apabila kelulusan diberikan kepada syarikat, mereka ini tidak memohon kad fleet daripada syarikat minyak. Syarikat minyak ini memerlukan masa antara tiga ke empat minggu untuk mengeluarkan kad fleet tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan KPDN Zon Utara di Anak Bukit dekat sini, hari ini.

Untuk rekod, SKDS 1.0 dilaksanakan sejak tahun 2013 melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam.

Ia kemudian disusuli SKDS 2.0 fasa satu, melibatkan sembilan jenis kenderaan Pengangkutan Barangan bermula 7 Mac lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini