comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN rampas 70,000 liter minyak diesel bersubsidi

FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 70,000 liter minyak diesel bersubsidi dianggarkan bernilai RM150,500 dipercayai cuba diseleweng menerusi serbuan di sebuah premis di Taman Impian Emas, di sini hari ini.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, premis yang dijadikan stor pengumpulan dan transit itu diserbu penguat kuasa KPDN serta pihak polis pada jam 1.15 tengah hari.

“Ketika serbuan terdapat tiga lelaki sedang melakukan kerja-kerja pemindahan minyak diesel dari tangki besar ke lori tangki, namun mereka sempat memanjat pagar dan melarikan diri ke belukar berdekatan,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan.

FOTO: NSTP

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kegiatan berkenaan dilakukan sejak lebih enam bulan lepas dan dipercayai menggunakan modus operandi yang sama dengan sindiket lain iaitu membeli minyak diesel bersubsidi di stesen minyak dengan menggunakan pelbagai kenderaan seperti lori dan van.

“… seterusnya sindiket jadikan stor ini sebagai transit dengan mengisi minyak diesel ke dalam tangki sedia ada, sebelum disedut masuk ke dalam lori tangki dan dibawa kepada pelanggan,” katanya.

Menurut Lilis Saslinda, pihaknya turut menyita dua lori tangki dan dua tangki besar manakala kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini