Tumpuan :
Nasional

KPDN rampas minyak masak disimpan lebih had ditetapkan

Foto hiasan

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 870 kilogram (kg) minyak masak paket dan 87kg minyak masak botol pelbagai jenama yang disimpan melebihi had ditetapkan di sebuah rumah kedai dua tingkat di Sitiawan, semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail, berkata serbuan dilakukan kira-kira jam 1.30 tengah hari selepas menerima aduan awam mendakwa berlaku aktiviti penjualan minyak masak paket satu kg secara borong.

“Jumlah minyak masak yang ditemukan melebihi had dibenarkan dalam lesen.

“Seorang lelaki tempatan berumur 38 tahun mengaku sebagai pemilik premis itu, dan akur serta faham tindakan yang dilaksanakan oleh KPDN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di premis berkenaan mendapati kedai runcit itu mempunyai Lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual (CSA) bagi gula, minyak masak dan tepung gandum yang masih sah, dengan had kuantiti simpanan 500kg bagi setiap jenis barang kawalan itu.

Sehubungan itu, Kamalludin berkata, tindakan diambil kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 10 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1961 iaitu peruncit memiliki barang kawalan melebihi had dibenarkan Pengawal di dalam lesen.

“Semua minyak masak itu disita, dengan nilai sitaan dianggar RM4,567.50,” katanya.

Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini