comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN sedia siasat jika ada unsur kartel dalam industri beras

 

Datuk Mohd Armizan Ali  ketika sidang media pada Sesi Dialog Prakarsa Pendayaupayaan Penguna (3P – KPDN) di Dewan Serbaguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), hari ini.- Foto: NSTP

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan sedia menyiasat jika terbukti wujud aktiviti kartel dalam industri padi dan beras negara.

Menterinya, Datuk Mohd Armizan Ali berkata, pihaknya menerusi Suruhanjaya Persaingan (MyCC) sentiasa terbuka mengambil tindakan sewajarnya jika Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau mana-mana pihak mempunyai maklumat berkaitan perkara itu.

“Sejak berkuat kuasa Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, bidang kuasa kawal selia berkaitan industri padi dan beras terletak di bawah KPKM.

“Namun jika ada isu yang disebut mengenai kartel beras ini, KPDN khususnya MyCC, kita terbuka sekiranya KPKM atau pihak tertentu ada maklumat, boleh salurkannya kepada MyCC,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa cadangan pelaksanaan beras putih Malaysia Madani, mampu mengekang industri beras negara daripada kawalan pihak kartel.

Sehingga kini, katanya kerajaan masih belum memutuskan pelaksanaannya cadangan berkenaan.

Bagaimanapun beliau berkata, cadangan itu akan diteliti dan dibincang dalam mesyuarat Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

Mengulas lanjut, Datuk Mohd Armizan berkata, isu berkaitan inisiatif dan penambahbaikan serta pemodenan industri beras dan masih di bawah bidang kuasa KPKM.

“Adalah lebih baik jika Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu yang menjawab isu terbabit,” katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Mohamad dalam kenyataannya menjelaskan kerajaan belum memutuskan pengenalan satu gred beras putih dikenali beras putih Malaysia Madani seperti diumum Pengerusi NACCOL, yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Pengumuman Datuk Syed Hussin berhubung penjualan beras putih Malaysia Madani berharga RM30 bagi kampit 10kg mulai 1 Mac depan, menggantikan beras putih tempatan (SST) dan beras putih import (SSI) menimbulkan persoalan ramai termasuk dalam kalangan pemain industri peruncitan.
Mesyuarat NACCOL dijadual akan berlangsung Jumaat ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini