comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN serbu bengkel kereta tidak kemuka sebut harga

FOTO: KPDN

MANJUNG: Bengkel kereta di Ayer Tawar, di sini, diserbu anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) Perak, kelmarin, kerana gagal mengemukakan satu senarai sebut harga sebelum melakukan pembaikan.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi itu dijalankan atas aduan yang diterima daripada orang awam yang tidak berpuas hati dengan caj yang dikenakan setelah kenderaan milik pengadu selesai dibaiki.

“Hasil siasatan yang dilakukan di bengkel terbabit mendapati, pemilik bengkel gagal untuk mengemukakan maklumat berkenaan perkhidmatan pembaikan kepada pengadu atau sebut harga sebelum melakukan apa-apa pembaikan ke atas kenderaan apabila diminta.

“Sehubungan itu, satu tindakan kes diambil mengikut Peraturan 6 Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) Pindaan 2002, Akta Perlindungan Pengguna 1999 iaitu gagal memberi suatu pernyataan bertulis kepada pengguna sebelum dan selepas perkhidmatan pembaikan dilakukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tegas beliau, peniaga yang tidak beretika dalam menjalankan perniagaan akan disiasat bagi memastikan hak-hak pengguna terpelihara di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Masyarakat dan pengguna pula disarankan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berhubung pembaikan kenderaan di bengkel yang mengelirukan.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat ke mana-mana cawangan KPDN berdekatan untuk bersama-sama membanteras aktiviti ini daripada terus berlaku,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini