comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN serbu premis jual aiskrim berlabel ‘No Palm Oil’

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah premis kedai serbaneka di Presint 3 di sini semalam kerana disyaki menjual produk makanan yang tertera perkataan ‘No Palm Oil’ (tiada minyak kelapa sawit) pada plastik pembungkusan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Putrajaya hasil aduan awam dari jam 11.45 pagi.

“Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan telah menemui produk aiskrim pelbagai perisa yang mempunyai pernyataan ‘No Palm Oil’.

“Kesemua produk aiskrim tersebut telah disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan berjumlah RM897.60,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, kes akan disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan Atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit Dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022.

Jika sabit kesalahan, pihak berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima
tahun.

Mengulas lanjut, menurut Armizan, perundangan di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan Atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022 mula dikuatkuasakan pada 15 Mac 2022.

“Berdasarkan statistik penguatkuasaan bermula 15 Mac 2022 sehingga 2 Mei 2024 di bawah perundangan ini, sebanyak 5,057 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara ke atas premis pelbagai peringkat rantaian pengedaran dan daripada jumlah tersebut, sebanyak empat kes telah didapati,” katanya.

Ujar beliau, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana syarikat pengimport, pengedar, penjual dan pihak berkaitan yang menjual produk diimport dari luar negara yang tidak mematuhi perundangan berkaitan.

Jenis kesalahan meliputi pernyataan berbentuk ungkapan atau petunjuk yang mungkin mendiskriminasi atau memboikot apa-apa keluaran atau barang-barang yang melibatkan komoditi utama negara iaitu minyak kelapa sawit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini