comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN serbu premis sorok barangan tiruan berjenama

FOTO: KPDN

SUNGAI BULOH: Tiga rumah yang salah satunya berdekatan surau di Kampung Kubu Gajah, di sini, dikesan dijadikan sebagai stor simpanan pelbagai jenis pakaian tiruan, bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, pihaknya yang menerima aduan daripada wakil pemilik cap dagang kemudian menjalankan serbuan ke tiga kediaman itu dan salah satunya berdekatan dengan surau pada 15 Mei lalu.

Menurutnya, operasi dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya itu hasil aduan diterima pihak wakil pemilik cap dagangan berdaftar yang berkaitan serta risikan awal dilakukan KPDN.

FOTO: KPDN

“Hasil maklumat awal diperolehi, kesemua rumah ini disyaki dijadikan stor untuk menyimpan kesemua pakaian terbabit sebelum dipasarkan secara borong dan runcit selain dijual di pasar pagi dan pasar malam sekitar Lembah Klang, Perak dan Pahang.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas semua premis terbabit, pasukan serbuan menemukan sejumlah 17,320 helai pelbagai jenis pakaian seperti jersi, seluar dan baju jenama terkenal yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah mengikut Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815],” katanya dalam kenyataan hari ini.

Datuk Azman berkata, semua pakaian terbabit bersama beberapa dokumen perniagaan lain disita bagi tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM254,950.

FOTO: KPDN

“Pasukan serbuan bertindak menahan seorang wanita yang mengaku bertanggungjawab ke atas premis terbabit berusia 33 tahun untuk membantu siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta 815 ini.

“KPDN ingin memberikan peringatan serta amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak melakukan aktiviti menjual barangan yang tidak mendapat kelulusanatau kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah kerana ia adalah suatu kesalahan yang serius,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini