comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN siasat warga asing isi petrol bersubsidi di Rawang 

FOTO: Ihsan KPDN Selangor

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menjalankan siasatan berhubung kes tular warga asing yang didakwa mengisi petrol bersubsidi di stesen minyak di Rawang baru-baru ini.

Menurut Pengarah KPDN Negeri, Mohd Zuhairi Mat Radey siasatan itu membabitkan aduan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Thailand mengisi RON 95 di stesen minyak berkenaan.

Hasil semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), katanya kejadian didapati berlaku pada jam 9.16 pagi, Isnin lalu.

“Seorang lelaki disyaki warga Thailand membayar RM100 di kaunter bayaran untuk membeli minyak tersebut dan semakan pada resit jualan mendapati kereta tersebut mengisi minyak petrol RON 95 sebanyak 48.8 liter,” katanya pada sidang media di Pejabat KPDN Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemilik premis iaitu lelaki berusia lingkungan 40-an sudah diberi notis arahan bagi mengemukakan dokumen mengikut Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, dokumen yang diperlukan itu sudah dikemukakan individu berkenaan dan disita bagi tindakan lanjut.

“Siasatan terperinci masih dijalankan dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Ini adalah kes pertama yang direkodkan di Selangor pada tahun ini dan KPDN memandang serius perkara itu dan memberi amaran kepada semua pengusaha stesen minyak supaya tidak menjual petrol bersubsidi kepada warga asing,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman tular di laman X memaparkan dua individu mengisi petrol bersubsidi yang menimbulkan pelbagai reaksi negatif netizen yang mempertikaikan tindakan warga asing yang semakin berani melanggar peraturan yang ditetapkan kerajaan Malaysia.

Loading...
Terkini