comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN sita coklat ‘No Palm Oil’ bernilai RM23,704 di Labuan

Coklat tertera ungkapan “No Palm Oil’ disita anggota penguat kuasa KPDN Labuan.

LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan semalam menyita 1,134 unit coklat kerana menggunakan ungkapan ‘No Palm Oil.’

Menerusi kenyataan rasmi di Facebook KPDN Labuan, rampasan dilakukan di dua premis berbeza di sini dengan semua coklat yang disita bernilai RM23,704.00.

Menurut kenyataan itu lagi, pemeriksaan sama turut dijalankan di premis-premis lain di kawasan bandar.

Anggota penguat kuasa KPDN Labuan memeriksa premis menjual coklat menggunakan ungkapan ‘No Palm Oil’ di sebuah premis di Labuan.

“Serbuan itu dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Labuan selepas mengesan pasar raya yang menjual produk makanan (coklat) menggunakan ungkapan ‘No Palm Oil’ atau ‘Palm Oil Free’,” kata kenyataan itu.

Menurut KPDN Labuan, kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan Atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022.

Sabit kesalahan, pihak berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM250,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun.

Kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi baru-baru ini memberi amaran tegas kepada peruncit, pemborong dan pengimport di negara ini, supaya tidak menjual, mengedar atau mengimport produk yang dilabel dengan kempen memboikot produk kelapa sawit.

Ia susulan kempen boikot produk kelapa sawit yang dilaksanakan dengan agresif di luar negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini