comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN Spot-i: mudahkan pengguna buat aduan dan semak harga barang

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

HULU SELANGOR: Tidak perlu lagi ke kaunter, hanya perlu imbas kod QR menggunakan telefon pintar anda.

Kini, semuanya boleh dilakukan di hujung jari menerusi portal Spot-I yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mulai hari ini.

Menurut Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey platform itu bakal membenarkan orang ramai untuk mendapatkan serta mengakses sebarang maklumat termasuk harga barangan keperluan dan kawalan.

Katanya, platform tersebut juga bakal memudahkan sebarang aduan dibuat pengguna termasuk sekiranya peniaga tidak meletakkan harga atau harga tidak tepat dengan pelabelannya.

Zuhairi menyasarkan sebanyak 200 premis termasuk kedai runcit menyertai platform Spot-i itu di Selangor.

“Kita telah mulakan dua bulan lepas bagi pra-pelancarannya di premis terpilih dan telah mendapat maklum balas yang amat baik dan terbuka di kalangan peniaga dan pengguna.”

“Di dalam portal itu, ada terdapat semua infografik berkaitan polisi, informasi dan hebahan terkini di bawah KPDN.”

“Apa-apa informasi terkini kita akan kemas kini secara langsung di dalam portal tersebut, jadi apabila mereka imbas (kod itu) mereka akan dapat maklumat terkini yang paling sahih daripada sumber yang sah.” katanya pada sidang media program Ride For Rahmah (RFR) hari ini.

Terdahulu, beliau melancarkan edaran poster rasmi KPDN Spot-i di stesen minyak hentian rawat dan rehat (R&R) Sungai Buloh.
Mohd Zuhairi menjelaskan Selangor menjadi perintis kepada platform tersebut sebelum diperluaskan kepada seluruh negara oleh pengurusan tertinggi KPDN.

Ujarnya, pengguna hanya perlu mengimbas poster KPDN Spot-i tersebut sebelum memasuki platform berkenaan.

“Seramai 77 pegawai pemeriksa dan pemantau harga akan turun ke premis setiap hari dengan menampal poster tersebut termasuk di kedai aceh dan pasar-pasar selain melakukan tugas rutin harian mereka.

“Malah, maklumat yang bukan di bawah bidang selia KPDN seperti gangguan bekalan beras turut akan diberikan sebagai pengetahuan kepada pengguna dan peniaga,” katanya.

Loading...
Terkini