SUNGAI PETANI: Sebanyak 105 aduan berkaitan minyak masak paket dengan pelbagai kesalahan diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Kedah sejak Januari hingga Oktober tahun ini.
Pengarahnya, Muhammad Nizam Jamaludin berkata daripada jumlah itu sebanyak 14 kes diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Katanya, antara kesalahan itu peruncit menyorok minyak masak.
“Terdapat lapan kesalahan berkaitan dengan Akta Kawalan Bekalan 1961 termasuklah enggan menjual (sorok) minyak masak paket…pelanggan tanya mereka kata bekalan tidak ada tapi apabila pemeriksaan dilakukan penguatkuasa bekalan minyak masak itu sebenarnya ada.
“Kesalahan lain adalah pengilang, pemborong atau peruncit tidak mematuhi arahan pengawal; berurusan secara borong atau runcit atau mengilang apa-apa barang berjadual tanpa lesen; penjual borong menjual barang kawalan kepada orang/pihak yang tidak mempunyai lesen/surat kuasa/kebenaran bertulis; serta pemborong gagal menyenggara atau tiada buku stok barang kawalan.
“Enam lagi kesalahan adalah di bawah Akta Kawalan Harga & Antipencatutan 2011 membabitkan kesalahan gagal meletakkan label, tag atau tanda harga barang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMPP) Deepavali tahun 2024 di sebuah pasar raya di sini, hari ini.
Muhammad Nizam berkata secara keseluruhannya KPDN Kedah menerima 1,443 aduan membabitkan pelbagai kesalahan sepanjang tahun ini.
“Selain aduan mengenai minyak masak, antara aduan tertinggi yang diterima adalah berkenaan transaksi dalam talian (398), harga (397), barang kawalan (183), perkhidmatan mengelirukan (158) dan bengkel kenderaan bermotor (82).
“KPDN Kedah turut menerima 25 aduan membabitkan kenaikan harga yang mana empat kes telah dihasilkan bagi kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 1,996 pemeriksaan dijalankan menerusi Ops Tiris 3.0 sejak Januari lalu dan 158 kes diambil tindakan membabitkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM3.5 juta.
“Selain itu, bermula 1 Oktober lalu, KPDN Kedah turut giat melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan harga barangan melibatkan lima kategori barangan dan perkhidmatan iaitu makanan dan minuman, keperluan isi rumah, makanan dan minuman sedia masak, perkhidmatan gunting rambut, dan perkhidmatan dobi.
“Pada 17 Oktober lalu, pemeriksaan diperluaskan bagi kategori ayam..sebanyak 83 pemeriksaan dan notis bertulis bagi kategori barangan dan perkhidmatan, serta satu notis bertulis bagi kategori ayam telah dikeluarkan,” ujarnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.