comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDNHEP Kelantan Hasilkan 829 Tindakan Kes Sepanjang Tahun Ini

Pengarah KPDNHEP negeri Kelantan, Azman Ismail (tengah) memeriksa harga barangan yang dijual di sebuah pasar raya di sini sempena Walkabout Pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2022.

KOTA BHARU: Dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 829 tindakan kes dihasilkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Kelantan dan 265 kes direkodkan dengan pelbagai kesalahan.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, rekod itu dicatat menerusi 54,581 pemeriksaan dan operasi yang dijalankan membabitkan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal serta tiada tanda harga pada barangan yang dipamer untuk jualan.

“Nilai rampasan daripada semua tindakan kes adalah RM53,602.61 manakala nilai kompaun yang dikenakan kepada peniaga di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 ialah RM30,700.

“Jumlah itu diperoleh menerusi pemeriksaan, operasi serta pemantauan termasuk penentuan harga maksimum barangan terkawal dan tiga skim harga maksimum musim perayaan pada tahun ini.

“Kami meningkatkan keberadaan pegawai penguatkuasa di lokasi terpilih yang menjadi tumpuan orang ramai dan seramai 136 pegawai terbabit dalam penugasan itu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Azman berkata, menerusi aduan melalui lapan saluran yang disediakan KPDNHEP, sebanyak 567 aduan diterima setakat ini berbanding 685 pada tahun lalu.

Aduan tertinggi yang diterima adalah berkaitan permasalahan pengguna membabitkan transaksi dalam talian.

“Sebanyak 202 aduan membabitkan pembelian dalam talian dan barangan tidak diterima diikuti 165 berhubung aduan harga iaitu tiada tanda harga diletakkan peniaga,” katanya ketika hadir dalam Walkabout Pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2022 di Pantai Timur Hypermarket, Pengkalan Chepa.

Tambah beliau, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2022 itu dikuatkuasakan bermula 20 Oktober lalu hingga esok membabitkan lapan jenis barangan harga terkawal beserta harga maksimum yang diwartakan.

“Penentuan harga itu dibuat terhadap semua peringkat pengeluaran termasuk pengeluar, pemborong dan peruncit agar penguatkuasaan kawalan harga lebih berkesan dan penawaran harga yang berpatutan untuk manfaat pengguna serta peniaga,” katanya.

Loading...
Terkini