comscore
Tumpuan :
Nasional

KPK akan berbincang bersama MOF, beri geran tanaman semula sawit secara penuh

Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki & Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan Dan Komoditi (KPK) akan berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF) untuk memberikan geran Program Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) secara penuh.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perbincangan bagi perolehan semula geran secara penuh itu untuk meningkatkan semula pengeluaran hasil sawit yang pada ketika ini menguncup kepada 18.6 juta tan metrik.

“Kita pernah mengeluarkan hasil kelapa sawit melebihi 20 juta tan metrik tetapi pada hari ini, ia menguncup kepada 18.6 juta tan metrik.

“Perbincangan bersama Kementerian Kewangan itu bukan sahaja untuk pemerolehan geran secara penuh tetapi meningkatkan hasil pengeluaran kelapa sawit,” katanya.

Johari berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa yang bertanyakan adakah kerajaan berhasrat untuk meningkatkan kadar pembiayaan skim tanaman semula kelapa sawit untuk pekebun sawit pada tahun hadapan di Dewan Rakyat.

Jelasnya lagi, untuk tahun ini, kementeriannya memperuntukkan RM100 juta untuk program pembiayaan mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) dimana 50 peratus diberikan dalam bentuk geran dan 50 peratus lagi adalah secara pinjaman.

Di samping itu, beliau turut berkata, pengurangan hasil sawit adalah disebabkan faktor penanaman semula kelapa sawit yang tidak sistematik dan direkodkan hanya 0.2 peratus serta berbanding standard adalah 4 peratus setahun.

Kementerian Perladangan Dan Komoditi juga memaklumkan, program tersebut turut menyasarkan kawasan tanaman seluas 5,900 hektar untuk tanaman semula sawit bagi tahun 2024.

Sehingga Oktober, kerajaan telah menerima permohonan daripada 2,311 pekebun kecil sawit yang merangkumi sekitar 7,699 hektar.

Daripada jumlah itu, permohonan bagi seramai 1,165 pekebun kecil sawit dengan keluasan 3,378 hektar yang melibatkan pembiayaan berjumlah RM52.9 juta juga telah diluluskan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini