comscore
Tumpuan :
Nasional

KPKM perkenal skim baharu struktur industri padi dan beras tidak lama lagi

KUALA LUMPUR: Satu skim baharu bagi menstruktur semula industri padi dan beras tempatan sebagai penyelesaian jangka panjang akan diperkenal Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perincian skim berkenaan akan diumum dalam masa terdekat.

Ketika ini katanya, KPKM giat mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh meliputi petani sehingga ke persatuan peladang bagi mengumpul maklumat menjayakan skim baharu berkait hal ehwal padi dan beras tempatan.

“Kita sedang melakukan libat urus secara intensif bersama petani dan persatuan peladang. Semua memberi pandangan masing-masing. Semua itu kita akan umumkan dalam dua tiga hari ini mengenai satu skim baharu.

“Ia satu (pelan tindakan) jangka panjang yang lebih kepada penstrukturan semula industri beras dan padi negara.

“Semuanya akan kita buat libat urus termasuk dengan ahli Parlimen supaya semua memberi pandangan kerana ini masalah negara, bukannya parti mana, bukan masalah kaum.

“Ia masalah negara yang memerlukan tuntutan bersama,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang mahu KPKM menjelaskan tindakan luar biasa bagi menangani isu bekalan beras putih tempatan (BPT) yang sukar didapati di pasaran ketika ini.

Mohamad berkata, polemik akan berterusan jika kerajaan tidak mencukupkan stok beras negara dan itu sebabnya KPKM merancang tindakan menyusun semula industri beras dan padi negara.

Katanya, pengeluaran BPT hanya 62 peratus beras di Malaysia manakala pihak seperti zakat, kontrak kerajaan, hospital, balai polis, sekolah, asrama dan sebagainya menggunakan BPT, menyebabkan yang untuk edaran tinggal kira-kira 50 peratus.

“Masalah bekalan menjadi masalah buat sementara dan kita kena susun semula. Penyusunan industri beras dan padi ini dilakukan pada 1980-an dahulu yang mana lahirnya Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) dan sebagainya.

“Tahun ini, kita akan buat penyusunan baharu dan akan diumum tidak lama lagi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini