
KLANG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersikap terbuka dengan mana-mana kumpulan pesawah yang ingin menghantar memorandum berhubung isu kenaikan harga lantai padi.
Mengulas dakwaan 1,000 pesawah dijangka menghantar memorandum isu berkenaan ke Bangunan Perdana Putra esok, menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ia adalah hak pihak terbabit untuk berbuat demikian.
“Kita akan ikuti dengan perbincangan-perbincangan secara intensif dengan semua pihak sehingga sidang Parlimen akan datang.
“Kita akan buat beberapa pengumuman yang sedang dimuktamadkan oleh beberapa pihak termasuk Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) bagi tujuan penambahbaikan.
“Saya tidak boleh umum awal selagi ia (keputusan) tidak siap,” katanya selepas Konvensyen Nasional AMANAH 2024, di sini, hari ini.
Semalam, Mohamad berkata, sesi libat urus yang lebih teliti membabitkan semua pemegang taruh industri, perlu dilaksanakan dalam usaha menyelesaikan isu bekalan beras tempatan dan harga belian padi.
Kerajaan katanya, sedang mengenal pasti situasi menang-menang membabitkan semua pihak berhubung isu berkenaan.
Justeru katanya, kementeriannya memerlukan sedikit masa lagi sebelum satu penyelesaian tuntas dapat diumumkan kepada semua pihak.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.