comscore
Tumpuan :
Nasional

KPKT bincang dengan Selangor, Pulau Pinang terima pakai Akta 672 – NGA

FOTO: NSTP

IPOH: Kerajaan sedang melakukan rundingan secara aktif dengan kerajaan Selangor dan Pulau Pinang dalam usaha agar dua negeri itu menandatangani Perjanjian Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sekiranya berhasil, kedua-dua negeri akan menyertai tujuh negeri lain yang menerima pakai akta berkenaan.

“Selangor sendiri secara prinsip telah menyatakan persetujuan di mana saya sendiri telah menghadap ke bawah duli Tuanku (Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah) telah berkenan menerima pakai Akta 672.

“Kita hanya menunggu keputusan MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan) untuk kita bincang secara terperinci dengan Selangor,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB): Karnival Komuniti PPR @ Rumah Pangsa Jalan Hospital hari ini.

Nga berkata, setakat ini tujuh negeri telah menerima pakai Akta 672 manakala lima negeri lagi iaitu Kelantan, Terengganu, Perak, Selangor dan Pulau Pinang masih belum menandatangani perjanjian tersebut.

Akra 672 bermatlamat memastikan keseragaman undang-undang dalam pengawalan dan pengawalseliaan perkara berhubung pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Sementara itu Nga berkata kerajaan akan terus melakukan libat urus secara berhemah dengan negeri-negeri yang masih belum menerima pakai akta tersebut.

“Pintu kami sentiasa terbuka, Perak sebagai contoh negeri paling banyak PBT (pihak berkuasa tempatan) di Semenanjung, ada 15 PBT, kita hormati keputusan kerajaan negeri (tidak terima pakai Akta 672) tetapi kita sentiasa alu-alukan (terima pakai), rundingan akan terus kita jalankan,” katanya.

Sementara itu Nga berkata KPKT menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan mewujudkan 130 Pusat Pandu Lalu Kitar Semula (DRTC) di seluruh negara di bawah Program Komuniti Sifar Sisa (KOSIS).

Setakat ini katanya 74 DRTC telah berjaya diwujudkan di seluruh negara dan pihaknya menyasarkan untuk mewujudkan sebanyak 130 DRTC menjelang hujung tahun ini.

Mengulas mengenai DRTC yang dilancarkan di PPR Rumah Pangsa Jalan Hospital pagi ini, langkah itu bertujuan memudahkan komuniti setempat untuk menghantar sisa kitar semula yang telah diasingkan dari rumah masing-masing.

Beliau berkata menerusi inisiatif KOSIS di PPR itu, sebanyak lebih 33,000 kilogram (kg) barang kitar semula, 4,500 kg minyak masak dan 6,200 kg sisa makanan dengan nilai RM23,500 telah direkodkan dari 2020 hingga Disember lalu. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini