comscore
Tumpuan :
Nasional

KPKT kawal harga rumah mampu milik

Foto hiasan

CYBERJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memastikan harga rumah mampu milik tidak dinaikkan susulan penyasaran subsidi diesel yang berkuat kuasa 10 Jun lalu.

Timbalan Menteri, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, kediaman yang tertakluk di bawah Dasar Perumahan Mampu Milik (DRMM) dan dikawal KPKT, dijual pada harga RM300,000 ke bawah, akan dipastikan kekal pada kadar berkenaan.

Ia termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), Program Rumah Mesra Rakyat (RMR), kediaman di bawah Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan Program Perumahan PR1MA.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memantau, termasuk rumah mampu milik dibina di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara yang juga dikawal di bawah KPKT.

SPNB guna cat penebat panas sekam padi pada Rumah Mesra Rakyat

“Ia termasuk kediaman PPR, RMR, di bawah Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan Program Perumahan PR1MA yang dijual bawah harga RM300,000, selagi dasar itu tidak diubah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Korban Sentuhan Kasih Parlimen Sepang dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta KPKT, di sini hari ini.

Datuk Aiman Athirah Sabu di Majlis Korban Sentuhan Kasih Parlimen Sepang dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta KPKT, di sini hari ini. FOTO: NSTP

Hadir sama Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.

Sebanyak 33 lembu dikorbankan pada program itu untuk diagihkan kepada asnaf di kawasan Sepang dan golongan memerlukan.

Datuk Aiman Athirah yang juga Ahli Parlimen Sepang, berkata, kenaikan harga rumah bergantung kepada bentuk kediaman yang dibina dan dijual secara terbuka oleh pemaju, bukannya projek perumahan di bawah kawalan KPKT yang bergantung kepada penawaran dan pembelian.

“Bagi rumah yang pembinaannya sudah diluluskan, ia terikat dengan perjanjian jual beli dan tidak boleh diubah. Sekiranya ada kenaikan harga rumah mampu milik, pemaju perlu kemukakan permohonan kepada kerajaan dan setakat ini memang kita kawal harga rumah terbabit,” katanya.

Mengenai program korban hari ini, beliau memaklumkan, Pejabat Khidmat Masyarakat Parlimen berkenaan menyumbang 13 lembu yang dikorbankan secara gotong-royong, termasuk bersama penduduk setempat.

Daripada 13 ekor itu, katanya, dua adalah lembu sado, masing-masing berharga kira-kira RM7,000.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini