comscore
Tumpuan :
Nasional

KPKT komited perkasa sektor sisa pepejal

Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) memberi fokus dan komitmen untuk memperkasa sektor sisa pepejal negara.

Menterinya, Nga Kor Ming, berkata pengurusan sisa pepejal negara akan menyumbang kepada sasaran Malaysia untuk mencapai tenaga boleh baharu kapasiti terpasang melalui konsep ‘Trash to Cash’ dan ‘Waste to Energy’ (WTE) iaitu sebanyak 70% menjelang tahun 2050 dan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 45% menjelang tahun 2030.

“Mengikut kaji selidik JPSPN, pembangunan loji WTE dalam negara, kita mampu menjana tenaga boleh baharu sebanyak 600 megawatt.

“Konsep WTE telah digunakan dengan meluas di seluruh dunia kerana keberkesanannya untuk merawat sisa pepejal dan mengurangkan jumlah sisa pepejal yang perlu dilupuskan ke tapak pelupusan sehingga 85%.

“Teknologi WTE yang terkini berpotensi mengurangkan sehingga 100% sisa pepejal ke tapak pelupusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, konsep itu juga adalah selamat kerana loji WTE beroperasi pada suhu yang konsisten dan tinggi iaitu sekurang-kurangnya 850 darjah celsius selain dilengkapi dengan sistem rawatan gas serombong yang telah terbukti mampu merawat gas-gas berbahaya daripada dilepaskan.

Tambahan pula, Kor Ming berkata, teknologi terkini tidak memerlukan keluasan tanah yang besar tidak menghasilkan air larut resap, bau busuk dan gas metana yang memberi impak negatif kepada kesihatan masyarakat dan alam sekitar.

Sehubungan itu, konsep WTE adalah antara pilihan yang terbaik untuk persekitaran alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini