comscore
Tumpuan :
Nasional

KPKT Rancang Bina 500 Unit Rumah PPR Di Jenderak, Kuala Krau

Foto: BH

TEMERLOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang untuk membina 500 unit kediaman teres Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jenderak, Kuala Krau, di sini, kata Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata ia sebagai usaha kerajaan bagi membantu golongan B40 untuk memiliki kediaman sendiri dengan pembinaannya kelak akan mematuhi hala tuju baharu PPR iaitu ke arah menjayakan agenda Malaysia berdaya huni.

“Projek ini merupakan ruang dan peluang kepada mereka untuk mempunyai kediaman sendiri kerana ia bukan hanya boleh disewa tetapi boleh dimiliki,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krau yang disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri 1 merangkap Ahli Parlimen Kuala Krau Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata projek perumahan tersebut juga akan dibina mengikut ketetapan hala tuju PPR baharu antaranya bersaiz 69.677 meter persegi, kadar jualan yang rendah iaitu RM42,000 seunit selain mengambil kira elemen seperti keterhubungan dan akses Internet seperti fibre to the home (FTTH) dan kemudahan awam.

Selain itu, beliau memaklumkan Kabinet turut bersetuju pembinaan PPR di negeri-negeri selepas ini, tidak perlu lagi dibuat dengan pemindahan tanah daripada kerajaan negeri kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP), ia antara lain bagi mempercepatkan proses pembinaan di kawasan yang terlibat.

Terdahulu, menyentuh mengenai pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krau yang melibatkan kos hampir RM3 juta itu, Reezal Merican dalam ucapannya berkata projek berkenaan telah dimulakan pada 25 Nov 2019 dan siap sepenuhnya pada 16 April lepas.

Katanya balai bomba dengan keluasan kira-kira dua hektar itu dilengkapi dengan ruang jentera satu petak, pejabat pentadbiran, stor logistik berserta garaj berbumbung.

“Ia sekali gus menjadikan di seluruh negeri Pahang kini mempunyai 28 balai bomba dan dengan pembinaan balai baharu ini akan membantu meningkatkan lagi kemampuan wira merah (pasukan bomba) kita dalam memberi tempoh bertindak yang lebih cekap dan pantas terhadap sebarang panggilan kecemasan.

“Ini pasti melegakan penduduk yang sebelum ini terpaksa bergantung kepada khidmat dan kekuatan balai bomba Temerloh, Jengka dan Jerantut yang jaraknya hampir 40 kilometer dari sini,” kata Reezal Merican.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata beberapa balai bomba sedang dan akan dibina di Pahang antaranya Sungai Lembing (Kuantan), Benta (Lipis) dan Lanchang (Temerloh).

“Lokasi tanah kami dah kenal pasti dan kami sedang tunggu proses selanjutnya. Namun, apa yang penting ada penambahan (balai bomba) dari semasa ke semasa, permohonan banyak kami akan tengok satu persatu mengikut keutamaan,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini