comscore
Tumpuan :
Nasional

KPKT sasar bina 100 taman rekreasi MADANI tahun ini

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan untuk membina 100 Taman Rekreasi MADANI atau kawasan hijau awam sepanjang tahun ini di seluruh negara dengan peruntukan RM50 juta.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, inisiatif itu diputuskan susulan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Panel of Experts (POE) KPKT Bilangan 1 Tahun 2024 yang dipengerusikan beliau semalam.

“Menurut statistik kementerian tahun 2022, Malaysia mempunyai seluas 23,433 hektar kawasan lapang yang berpotensi menjadikan kawasan hijau awam. KPKT dalam proses mempercepatkan proses pewartaan kawasan lapang bagi memastikan kawasan lapang sedia ada tidak ditukar guna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, sasaran pembinaan itu melibatkan kerjasama merentasi jabatan seperti Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Jabatan Landskap Negara (JLN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mengulas lanjut, menurut Nga, Mesyuarat Jawatankuasa Induk POE KPKT adalah satu inisiatif strategik kementerian bagi menggembleng pengetahuan, pengalaman dan kepakaran pelbagai pihak untuk bersama-sama KPKT secara khusus dalam menentukan dasar serta program terbaik untuk rakyat.

Tambahnya, sejak tahun lalu, Jawatankuasa Kecil POE dibentuk berdasarkan kepakaran ahli yang memfokuskan kepada tiga bidang utama.

Bidang tersebut merangkumi Jawatankuasa Kecil Perumahan, Jawatankuasa Kecil Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Risiko Bencana serta Jawatankuasa Kecil Perbandaran Mampan.

“Penubuhan Jawatankuasa Kecil ini membolehkan mereka bergerak lebih aktif dan efisien serta lebih fokus kepada bidang kepakaran setiap ahli. Ia diharap dapat membantu memberikan nasihat, pandangan serta cadangan kepada KPKT bagi menangani pelbagai isu dan cabaran yang mendatang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini