comscore
Tumpuan :
Nasional

KPKT sasar bina 50 taman rekreasi awam seluruh negara setiap tahun

Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (tengah) berkata sebanyak RM500,000 peruntukan disediakan untuk setiap taman rekreasi yang dibina setiap tahun di seluruh negara. FOTO: NSTP

IPOH: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan untuk membina sekurang-kurangnya 50 buah taman rekreasi awam setiap tahun di seluruh negara.

Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pihaknya akan memperuntukkan kira-kira RM500,000 untuk setiap taman rekreasi berkenaan.

“Pembinaan tersebut bagi menambah taman rekreasi awam sedia ada, yang bertujuan bagi mewujudkan persekitaran hijau yang selesa dan selamat kepada penduduk sekitar di kawasan perumahan.

“Taman rekreasi awam ini dibina sebagai satu fisioterapi kepada penduduk…bila ada taman untuk mereka beriadah maka memang ia akan membawa satu faedah yang bermanfaat,” katanya selepas merasmikan pembangunan landskap persekitaran kehidupan di Taman Woodlands, Bandar Baru Tambun di sini malam ini.

Dalam pada itu, Nga berkata KPKT memperuntukkan RM10 juta untuk membina 22 taman rekreasi awam di Perak dan kerja pembinaannya akan siap sepenuhnya pada tahun ini.

Beliau berkata bagi melibatkan komuniti setempat, kementerian menggalakkan orang ramai menyumbangkan benih pokok, yang kemudiannya akan dinamakan atas nama keluarga mereka.

Nga berkata inisiatif tersebut dilihat mampu mengurangkan vandalisme yang banyak berlaku di taman rekreasi awam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini