comscore
Tumpuan :
Nasional

KPLB peruntuk dana RM114 juta sedia ekosistem usahawan desa

KUALA NERANG: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan dana lebih RM114 juta tahun depan bagi menyediakan ekosistem kepada usahawan luar bandar meluaskan pasaran dan meningkatkan pendapatan.

Peruntukan itu bagi menyokong perkembangan 64,000 usahawan luar bandar di bawah KPLB di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penganjuran Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) antara inisiatif KPLB untuk memperkasakan ekosistem sedia ada untuk usahawan terlibat.

“Program ini menyediakan platform kepada semua pihak yang terlibat dalam rantaian keusahawanan termasuk pengeluar, pembekal, pemborong dan pengedar untuk menjalin kerjasama strategik termasuk meluaskan jaringan perniagaan.

“Melalui program itu juga KPLB dapat mengumpul maklumat dan maklum balas daripada usahawan luar bandar mengenai keberkesanan program pengukuhan keusahawanan yang dilaksanakan oleh agensi di KPLB,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan Mini KUD Padang Terap di sini, hari ini.

Jelas Mahdzir, hampir semua agensi di bawah KPLB mempunyai program khusus untuk pembangunan usahawan luar bandar.

Antaranya Majlis Amanah Rakyat (MARA), FELCRA, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Turut terlibat, agensi wilayah iaitu Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah KETENGAH, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan KESEDAR, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara KEJORA, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah KEDA dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang, PERDA.

Sementara itu, Mini KUD Padang Terap mencatatkan nilai jualan tunai lebih RM200,000 dengan kehadiran lebih 30,000 pengunjung sepanjang tiga hari bermula Khamis lalu.

“Ia melepasi sasaran awal sebanyak RM200,000, jika kita mengambil kira sesi padanan perniagaan atau “business matching” nilai keseluruhan yang berjaya dicatatkan mencecah RM 450,000,” kata Mahdzir.

Tambah beliau, elemen penting penganjuran Mini KUD adalah sebagai platform mempromosi kemudahan serta inisiatif yang disediakan KPLB dan agensinya bagi membantu usahawan luar bandar.

Mini KUD edisi keempat tahun ini menyaksikan penglibatan enam agensi di bawah KPLB iaitu MARA, RISDA, KEMAS, FELCRA, JAKOA dan KEDA.

Mini KUD Padang Terap juga dimeriahkan dengan pemberian baucer jualan bernilai RM15,000 yang diberikan secara percuma kepada semua pengunjung untuk menambah jualan usahawan yang menyertai karnival tiga hari itu.

Pada majlis sama, Mahdzir turut menyampaikan geran Skim Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) kepada 1,032 usahawan desa bernilai lebih RM5.1 juta.

Manakala 11 usahawan menerima bantuan penyediaan warung desa dan peralatan di bawah Program Peningkatan Pendapatan (PPP) bernilai RM110,000.

Loading...
Terkini