![](https://media.buletintv3.my/2024/12/AcnIUifP-BULETIN-TV3-A-52.jpg)
PASIR MAS: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat berjalan dengan lancar sehingga Februari depan meskipun negara dijangka menghadapi gelombang banjir Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Setiausaha KPM Datuk Ruji Ubi berkata, pihaknya sudah membuat persiapan rapi sejak Oktober bagi memastikan calon SPM dapat menduduki peperiksaan dengan selamat di tengah cabaran musim tengkujuh.
“Kementerian dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga sudah mengenal pasti calon yang terbabit banjir termasuk lokasi pusat pemindahan sementara (PPS), tempat mereka berlindung.
“Kesemua calon terjejas banjir akan menduduki peperiksaan di lokasi lain yang bebas air dan ditempatkan di asrama serta disediakan guru kaunseling bagi memastikan emosi dalam keadaan terbaik, begitu juga proses pengajaran dan pembelajaran (PdP),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meranti, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pendidikan Kelantan Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz.
Ruji berkata, KPM kini memberi fokus sepenuhnya kepada sekolah, guru serta calon SPM jika banjir gelombang kedua berlaku dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sebelum ini memaklumkan KPM mengaktifkan Op Payung untuk menangani isu berkaitan persekolahan, peperiksaan dan banjir, selain memastikan kebajikan calon SPM terus terjaga sepanjang musim MTL ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.