
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menggubal Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah, bertujuan mengatasi isu berkaitan kehadiran dan keciciran pelajar, sekali gus dapat meningkatkan kualiti pendidikan negara.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, dasar berkenaan dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung bulan depan.
Beliau berkata, pengenalan dasar baharu itu antara lain bertujuan mengatasi isu ketidakhadiran pelajar pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan datang.
“Ini antara langkah yang dapat kita laksanakan sebaik mungkin bagi mengatasi isu berkait rapat dengan kehadiran, keciciran dan peningkatan kualiti pendidikan dalam negara.
“Beri kita masa sedikit untuk buat ‘conclusion’ (rumusan) berkaitan kehadiran (calon SPM 2024) sehingga kertas terakhir, insya-Allah,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2025 di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas dan Pengarah Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur, Megat Affandi Ismail.
KPM pada 1 Januari 2003, menguatkuasakan Dasar Pengoperasian Pendidikan Rendah Wajib, bertujuan memastikan ibu bapa warga tempatan yang menetap di negara dan memiliki anak mencapai umur enam tahun pada hari pertama tahun persekolahan semasa, perlu mendaftarkannya di sekolah rendah.
Media baru-baru ini melaporkan 10,000 pelajar tidak hadir bagi kertas Bahasa Melayu pada peperiksaan SPM 2024, sekali gus mengundang kritikan pelbagai pihak dan menggesa KPM menyiasat punca perkara itu.
Pada 2 Januari lalu, Fadhlina dilaporkan berkata, kira-kira 10,000 pelajar masih belum mengesahkan kehadiran untuk peperiksaan SPM 2024.
Peperiksaan SPM 2024 bermula pada 2 Disember lalu hingga 6 Februari depan, membabitkan 402,956 calon di 3,337 pusat peperiksaan di seluruh negara, manakala 126,636 petugas dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian.
Fadhlina berkata, selain tindakan berterusan untuk mengatasi isu ketidakhadiran calon SPM dilakukan KPM, ibu bapa juga bertanggungjawab memastikan kehadiran anak masing-masing yang sedang menjalani peperiksaan itu.
Beliau juga menyifatkan dakwaan 10,000 calon SPM tidak hadir menduduki peperiksaan sebagai angka belum matang, memandangkan tempoh peperiksaan masih berlangsung hingga 6 Februari depan.
“Kita minta masa hingga akhir peperiksaan untuk merumuskan semua proses berkaitan kehadiran pelajar supaya kesimpulan lebih tepat dapat dibuat.
“Tindakan (diambil KPM untuk memastikan calon SPM hadir peperiksaan) dibuat secara berterusan sepanjang tahun, bukannya tertumpu ketika tempoh SPM semakin hampir, termasuk program Cakna Ziarah membabitkan komuniti dan ibu bapa.
“Hari ini, saya ambil kesempatan memberi peringatan kepada ibu bapa supaya mengambil tanggungjawab berhubung kehadiran anak masing-masing yang sedang menduduki SPM.
“SPM sangat penting dan ini peperiksaan terakhir mereka dalam era persekolahan. Jadi kita minta ibu bapa bersama-sama memastikan isu kehadiran ini dapat ditangani bersama,” katanya.
Mengulas dakwaan kebocoran kertas peperiksaan SPM bagi subjek Sejarah, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, hasil siasatan mendapati perkara itu tidak memenuhi maksud bocor seperti definisi digariskan Lembaga Peperiksaan (LP), selain mengakui tuduhan sedemikian berlaku setiap tahun, membabitkan pelbagai subjek lain.
“Kita terus siasat setiap dakwaan yang berlaku dan mendapati ia tidak memenuhi maksud bocor mengikut definisi LP. Dalam konteks ini, ia sangat kritikal, jika ada dakwaan, mesti disiasat sebelum tindakan diambil serta-merta. Semua proses ini dijalankan dengan sangat teliti.
“Perlu diingatkan, SPM adalah peperiksaan berkepentingan tinggi. Jadi soal keselamatan (dan) kerahsiaan sangat dijaga. Setiap dakwaan ditangani secara serius dan segera bagi memastikan pelajar tidak terjejas dengan berita atau khabar angin sebegini.
“Setakat ini, KPM sudah ambil semua langkah memastikan integriti kertas peperiksaan SPM bersifat dijaga sepenuhnya sebab ia membabitkan maruah dan kepentingan negara,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.