Tumpuan :
Nasional

KPM junjung titah Agong, tumpu bangunkan pelan pendidikan baharu

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada pembukaan penggal keempat, Parlimen Ke-15 pada 3 Februari 2025 yang menyentuh beberapa perkara yang melibatkan pendidikan negara.

KPM menerusi kenyataan memaklumkan, sedang memberi tumpuan membangunkan pelan pendidikan baharu bagi menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Agenda Reformasi Pendidikan yang direncanakan kementerian kini giat berjalan di setiap peringkat bagi memastikan pendidikan negara kekal relevan serta dapat menangani cabaran semasa dengan tuntas.

Katanya, ia memberi penumpuan kepada enam fokus utama iaitu digital, bahasa, literasi, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta prasekolah.

“KPM merafak sembah menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena pembukaan penggal keempat, Parlimen Ke-15 pada 3 Februari 2025 yang turut menyentuh beberapa perkara yang melibatkan pendidikan negara.

“KPM sentiasa proaktif meningkatkan infrastruktur pendidikan bagi memastikan akses pendidikan yang berkualiti kepada semua murid,” katanya.

KPM berkata, kerajaan sentiasa memartabatkan pendidikan negara dan ia dapat dilihat menerusi Belanjawan 2025, sejumlah 44 buah sekolah, 11 Pusat PERMATA yang dilengkapi dengan pusat didikan anak-anak autistik serta dua sekolah baharu bagi murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) diluluskan pembinaannya.

Sejumlah RM2 bilion turut diperuntukkan untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara merangkumi RM1 bilion untuk menyelenggara semua jenis sekolah termasuk institusi pendidikan KPM.

Manakala, RM1 bilion lagi untuk menaik taraf dan pembangunan semula bangunan daif di sekolah terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Sebanyak RM100 juta turut diperuntukkan untuk membaik pulih kemudahan kantin dan musolla di sekolah.

“Selaras usaha memperkasakan pendidikan TVET, kerajaan sudah meningkatkan kadar Bantuan Geran Per Kapita (PCG) TVET sebanyak 15 peratus dengan kos keseluruhan berjumlah RM900 juta.

“Sejumlah RM1.2 bilion juga diperuntukkan kepada Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik seluruh negara yang menyediakan pendidikan kepada 77,000 orang pelajar,” katanya.

Justeru, KPM menegaskan, akan terus berusaha memastikan titah Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan demi penambahbaikan pendidikan negara dan kesejahteraan rakyat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini