comscore
Tumpuan :
Nasional

KPM komited selesai isu pembinaan sekolah baharu di kawasan padat

Oleh Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

AMPANG: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited untuk menyelesaikan isu berkenaan pembinaan sekolah baharu bagi menampung sekolah sedia ada di kawasan yang mempunyai jumlah kepadatan penduduk yang tinggi.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pihaknya sedang meneliti kapasiti sekolah di seluruh negara dan melihat keperluan penambahan sekolah baharu di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

“Pendekatan ini kita lihat amat berkesan di mana kita dapat menyediakan kawasan atau tapak untuk dibina sekolah bagi memastikan apabila jumlah kapasiti sedia ada telah mencapai tahap paling optimum, sekolah yang berikutnya telah bersedia menerima murid murid baharu.” katanya pada sidang media selepas Majlis Bicara Transformasi Pendidikan Bersama-Sama Komuniti di Ukay Perdana, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali.

Dalam majlis sama, Datuk Dr Radzi turut mengumumkan pembinaan sekolah baharu di kawasan Bukit Antarabangsa yang berhadapan dengan kepadatan penduduk tinggi.

“Pembinaan sekolah ini untuk penduduk Bukit Antarabangsa sudah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) lagi tapi masih belum dapat dibina kerana terdapat kekangan tertentu.”

“Kita berusaha gigih bersama Ahli Parlimen Gombak (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) selesaikan perkara ini. Setakat ini urusan berkaitan tanah sudah selesai, tapak sudah ada, insya-Allah kontraktor akan masuk hujung tahun depan.”katanya.

Jelasnya projek pembinaan Sekolah Kebangsaan Ukay Sungai Sering dijangka siap pada penghujung 2025.

KPM menyedari terdapat keperluan untuk menyiapkan segera sekolah di kawasan itu mengambil kira pelbagai faktor kritikal didepani masyarakat setempat.

Ini termasuk kesukaran ibu bapa yang terpaksa menghantar anak ke sekolah di kawasan lebih jauh termasuk sehingga ke Keramat dan Taman Melawati selain sekolah berhampirannya sudah menghampiri kapasiti optimum.

Sekolah berkenaan boleh memuatkan lebih 2,000 murid dengan pelbagai kemudahan termasuk 30 bilik darjah dan infrastruktur untuk murid pra sekolah.

Loading...
Terkini