Tumpuan :
Nasional

KPM masukkan citra Sabah dalam kurikulum, dasar pendidikan negara

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan (KPM) bersetuju memasukkan citra Sabah dalam kurikulum dan dasar pendidikan negara.

Perkara itu antara dipersetujui pada mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan (JTBPP) Negeri Sabah Bilangan 1 2024 di Putrajaya, kelmarin.

Menerusi kenyataan hari ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata mesyuarat itu turut meluluskan satu tuntutan baharu dikemukakan Kerajaan Sabah.

Menerusi tuntutan itu, katanya Kerajaan Sabah meminta fleksibiliti dan autonomi dalam penggunaan peruntukan bencana berdasarkan keperluan sebenar atau kesegeraan di negeri itu.

“KPM bersetuju dengan tuntutan ini dan akan menambah baik prosedur pengendalian standard (SOP) sedia ada untuk perolehan kecemasan bagi menentukan peruntukan serta kaedah perolehan.

“Ini dapat membantu penyelesaian segera ketika bencana dan mengatasi isu-isu berbangkit,” katanya.

Mesyuarat JTBPP Negeri Sabah itu dipengerusikan bersama oleh Fadhlina dan Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi Sabah yang juga EXCO Pendidikan negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Fadhlina berkata mesyuarat itu juga memutuskan perkara berkaitan pengambilan guru baharu yang dipecahkan mengikut tiga wilayah iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“KPM turut meluluskan lima tuntutan tambahan yang dikemukakan oleh Kerajaan Sabah sebagaimana yang diluluskan kepada Kerajaan Sarawak.

“Ia melibatkan perancangan projek, perkongsian maklumat mengenai perpindahan pegawai kanan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) ke ibu pejabat KPM dan perkongsian data pendidikan,” katanya.

Fadhlina berkata, mesyuarat JTPBB Negeri Sabah berlangsung lancar dalam suasana harmoni, mencerminkan kesepakatan KPM dan Kerajaan Sabah.

“KPM komited menterjemahkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menerusi usaha berterusan memperkasakan pendidikan di Sabah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini