
KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan (KPM) melakukan penilaian semula subtopik yang berat dan tidak selari dengan keperluan murid.
Langkah itu bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran, dijalankan secara efektif.
Kenyataan KPM juga memaklumkan, tindakan itu diambil merujuk kepada aras yang ditetapkan dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).
“KPM menghargai pandangan serta cadangan daripada pemegang taruh dan masyarakat umum berkaitan kurikulum persekolahan yang sedang dilaksanakan di semua sekolah termasuk Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Semakan 2017 dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM),” menurutnya.
Selain itu, KPM turut melaksanakan program Modul Bimbingan (MOBIM) untuk mata pelajaran Matematik, Sains, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, sebagai inisiatif membantu guru memahami kurikulum dan melaksanakan PdP dengan lebih berkesan.
Program berkenaan disebar luas ke semua sekolah mulai Mac 2023 bermula dengan Tahun Satu.
Manakala bagi Tahun Dua dan seterusnya akan diedarkan secara berperingkat sehingga selesai.
Sementara itu, KPM berkata, seramai 1,600 orang membabitkan guru, pensyarah, ibu bapa, badan bukan kerajaan (NGO) dan industri, sudah dilibatkan dalam 21 sesi libat urus dan pelaksanaan Konvensyen Kurikulum bagi membangunkan kurikulum persekolahan yang baharu.
“Sesi tersebut memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat mengemukakan pandangan, KPM juga akan melaksanakan satu Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 secara dalam talian, mulai 25 Ogos sehingga 15 September 2023 melalui pautan: https://bit.ly/KurikulumKita2027”, katanya.