Oleh: Fahmi Tajuddin
PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memantau rapat situasi banjir yang melanda beberapa negeri yang menjejaskan sesi persekolahan.
KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, setakat 21 September seramai 1,065 murid sekolah terjejas banjir dan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sekolah.
Manakala sejumlah 36 institusi pendidikan dijadikan PPS.
“Enam institusi pendidikan melibatkan lima sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah masih dilanda banjir di Kedah.
“36 institusi pendidikan masih dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan 20 sekolah sekolah rendah dan 16 sekolah menengah, Kedah 34; Pulau Pinang 1; dan Perak 1.
“Seramai 1,056 orang murid KPM masih berada di PPS premis sekolah,” ujar kenyataan itu.
KPM juga memaklumkan Institusi pendidikan bawah KPM yang terkesan banjir dan dijadikan PPS akan meneruskan pembelajaran menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
“Ia sama ada semua murid berada di rumah ataupun sebilangan murid tertentu melaksanakan PdPR,” tambah KPM.
Selain itu, KPM juga menyediakan Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) untuk membantu murid di PPS dalam aspek kaunseling dan pembelajaran.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.