comscore
Tumpuan :
Nasional

KPM prihatin beri ruang kepada guru berada bersama isteri kanser

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) prihatin mengenai situasi guru lelaki yang sedang diuji dengan masalah kesihatan isteri seperti tular di media sosial sejak semalam.

KPM dalam satu kenyataan di Facebook (FB) berkata, pihaknya mengambil tindakan segera memberi bantuan kepada guru berkenaan termasuk memberikannya cuti untuk berada bersama isteri.

“Satu pertemuan dengan beliau akan diadakan dalam waktu terdekat bagi membincangkan mengenai kebajikannya dan perkara-perkara lain yang berbangkit.

“KPM mendoakan kesembuhan isteri guru berkenaan dan akan memastikan kebajikan beliau dan keluarga terpelihara,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, pengguna Facebook (FB) Harima Abd Rahman berkongsi kisah Cikgu Din yang dibelenggu resah dan harapan untuk bertukar ke Semenanjung demi isteri, Nur Atiqah My Yusoff yang bertarung nyawa melawan kanser tulang rawan tahap empat.

Guru yang bertugas di Sarawak itu juga sanggup berulang-alik dari Sarawak ke Kota Bharu, Kelantan setiap dua minggu untuk menemani isteri, namun membuat permohonan pertukaran apabila keadaan isteri semakin memburuk.

Bagaimanapun, permohonan itu tidak berjaya atas alasan EgTukar hanya boleh dibuka kepada guru tetap yang sudah berkhidmat selama tiga tahun dan didakwa perkara itu juga menyebabkan Cikgu Din mempunyai masalah kemurungan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini