Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memuktamadkan cadangan penyelesaian dalam menentukan hala tuju penyelesaian isu 1BestariNet.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengemukakan cadangan berkenaan keapada Jemaah Menteri melalui Memorandum Jemaah Menteri.
“Pada tahun 2019, KPM merancang rundingan dengan syarikat mengenai kadar penyewaan tapak dan caj elektrik menara 1BestariNet, namun rundingan tertangguh kerana YTL Communications Sdn. Bhd. (YTLC) memfailkan permohonan kebenaran untuk Semakan Kehakiman terhadap kerajaan.
“Rundingan diteruskan setelah syarikat menarik balik permohonan itu pada 5 Oktober 2021, seperti disyaratkan oleh KPM.
“Pada 17 Mac 2023, Nota Jemaah Menteri berkaitan Cadangan Penyelesaian Isu Sewaan Tapak dan Caj Elektrik Menara Komunikasi 1BestariNet Receiver Integrated System (1BRIS) bagi Projek Perkhidmatan 1BestariNet Fasa 2 dan Pasca 1BestariNet telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah di Dewan Rakyat hari ini.
Tambahnya, setakat ini, kerajaan tidak memfailkan sebarang tindakan undang-undang sivil difailkan di mahkamah.
Dalam masa yang sama, katanya pelaksanaan projek 1BestariNet ini masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Justeru KPM menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menyiasat perkara ini dan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM dalam siasatan berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.