comscore
Tumpuan :
Nasional

KPM selaras sistem pendidikan prasekolah

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Semua sistem pendidikan prasekolah akan diselaras oleh Kementerian Pendidikan (KPM) selepas ini.

 

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

“Kita lihat pendidikan prasekolah agak rencam, pelbagai, dan kadangkala kita terima aduan daripada pihak ibu bapa tentang kualiti berbeza dan kita ingin pastikan dapat disediakan untuk rakyat terutama bagi golongan berpendapatan rendah sebagai contoh adalah (pendidikan) berkualiti dan kurikulumnya dapat diselaraskan untuk memastikan aspek pendidikan lebih terjaga,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Tambahnya, beberapa aspek kurikulum agama pula akan diselaraskan di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan maklumat lanjut mengenainya akan dikeluarkan oleh KPM.

Isnin lalu, Anwar dilaporkan menggesa KPM untuk melihat semula sistem prasekolah dengan menyediakan kemudahan tambahan untuk pelajar di seluruh negara.

Ujarnya, ia berikutan kemerosotan prestasi pelajar di negara ini yang dicatatkan dalam skor Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 berbanding skor yang diperoleh pada 2018.

Daripada 81 negara yang mengambil bahagian dalam PISA 2022, sebanyak 58 negara mengalami penurunan mata skor termasuk Malaysia, Amerika Syarikat (AS), Perancis, United Kingdom (UK) dan Jerman.

Menerusi laporan berkenaan, pelajar Malaysia mengalami penurunan skor untuk tiga sektor utama iaitu Literasi Matematik, Literasi Saintifik dan Literasi Bacaan.

Ketika ini, terdapat prasekolah kendalian pelbagai kementerian seperti KPM, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (Tabika / Taska KEMAS) dan Kementerian Perpaduan Negara (Tabika Perpaduan).

Sebelum ini, Laporan Bank Dunia dalam kajian semula sistem pendidikan awal kanak-kanak Malaysia yang dikeluarkan 30 Mei 2023 memaklumkan, selepas 66 tahun merdeka, kualiti prasekolah Malaysia masih di peringkat kurang memuaskan.

Hasil kajian itu juga menyenaraikan beberapa isu yang perlu diberi perhatian, antaranya kekurangan prasekolah di kawasan tertentu, kurangnya kesedaran ibu bapa mengenai manfaat menghantar anak ke prasekolah, bebanan kos prasekolah, kualiti guru yang rendah dan penindihan peranan di antara kementerian dan agensi yang mengawasi Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) di Malaysia.

Loading...
Terkini