comscore
Tumpuan :
Nasional

KPM sentiasa tambah baik PBD

Foto: NSTP

NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa menambah baik kaedah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, proses memantapkan PBD berjalan dari semasa ke semasa dan kaedah itu sentiasa diperbaiki termasuk dengan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dan ibu bapa.

“Malah kita di KPM juga merujuk pada pakar serta dalam masa sama memastikan guru-guru dilatih dan terlibat dengan latihan pengukuhan.

“Ini untuk pastikan mereka ini (guru-guru) diangkat dari segi prestasi, kompetensi dan kecekapan mereka untuk membuat pentaksiran serta libat urus dengan ibu bapa untuk memahamkan mereka bagaimana pentaksiran itu dilaksanakan,” katanya.

Beliau diminta mengulas berhubung usaha KPM untuk memperkemaskan pelaksanaan PBD di sekolah.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan Sesi Libat Urus Bersama Lembaga Pengelola Sekolah Pulau Pinang (LPS) dan Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) hari ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata penting untuk memahamkan semua pihak khususnya ibu bapa bagaimana pentaksiran itu dilakukan oleh guru di sekolah.

PBD katanya ialah kaedah terbaik untuk memastikan proses menilai aspek intelek, emosi, rohani, jasmani dan sosial murid dijalankan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini