comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] KPM siap siaga laksana peperiksaan SPM 2023

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan, KPM bersiap siaga dengan segala mekanisme bagi memastikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, SPM 2023 bermula 8 Januari ini berjalan lancar.

Ia berikutan musim banjir yang sedang melanda beberapa negeri ketika ini.

Menurut KPM, persediaan itu termasuklah menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan bagi memastikan kelancaran perjalanan peperiksaan SPM 2023.

Keseluruhan, seramai 395,870 orang calon sudah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM tahun 2023 di 3,340 buah pusat peperiksaan seluruh negara.

FOTO: NSTP

KPM dalam satu kenyataan berkata pihaknya cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta semua petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan SPM 2023 berlangsung.

Semua calon peperiksaan SPM 2023 dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri, JPN dengan segera, sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran, disebabkan bencana.

“Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat Lembaga Peperiksaan, LP dan JPN di seluruh negara,” kata kenyataan itu lagi.

Tambahnya, seramai 129,635 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.

KPM mengingatkan semua calon peperiksaan SPM 2023 supaya merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.

Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan, LP melalui pautan lp.moe.gov.my.

Semua calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan pernyataan pendaftaran peperiksaan ke pusat peperiksaan.

Loading...
Terkini