comscore
Tumpuan :
Nasional

KPM tidak tolak kemungkinan pinda tarikh keluarkan keputusan SPM

Kah Woh ketika menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada SABK Maahad Al-Khair Lil Banat di Kamunting, di sini, sempena lawatan kerjanya ke tujuh sekolah sekitar bandar Taiping dan Kamunting. – FOTO: NSTP

TAIPING: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak menolak kemungkinan meminda tarikh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang sebelum ini diumumkan pada 27 Mei kepada satu tarikh yang lain.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, ia selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak, khususnya dalam kalangan warga pendidik mengenai tarikh 27 Mei yang ditetapkan seperti kenyataan berhubung perkara itu yang dikeluarkan semalam.

Tanpa mengiya atau menafikan ketika ditanya sama ada terdapat kemungkinan perubahan tarikh itu, Ahli Parlimen Taiping berkenaan sekadar memberi jawapan meminta supaya semua pihak menunggu sehingga kenyataan rasmi berkaitan isu itu dikeluarkan oleh KPM iaitu selepas meneliti segala pandangan.

“Selepas pengumuman itu (tarikh SPM), kita memang dengar ada pandangan-pandangan daripada semua pihak berkepentingan, termasuk warga pendidik, guru-guru kita. Seperti praktis KPM sebelum ini, apabila kita hendak merangka kurikulum, silibus atau melaksanakan sesuatu dasar baharu, maka kita mendengar pandangan daripada semua pihak.

“Untuk perkara berhubung pengumuman keputusan SPM ini, semua pandangan itu adalah dalam pertimbangan KPM dan sekiranya perlu, maka pihak KPM akan memberikan kenyataan rasmi mengenainya. Itu (kemungkinan perubahan tarikh) pihak KPM akan pertimbangkan dan kita akan memberikan pengumuman yang sewajarnya apabila tiba masanya.

“Kerajaan ini adalah kerajaan yang sudi mendengar, jadi apabila kita menerima pandangan yang berbeza daripada semua sektor, maka pihak KPM akan mempertimbangkan semua pandangan itu. (Jadi) berilah sedikit masa sebelum kami berikan satu keputusan ataupun kenyataan berhubung isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Khair Lil Banat di Kamunting sempena lawatan kerjanya ke tujuh sekolah sekitar bandar Taiping dan Kamunting di sini, hari ini.

Dalam lawatan itu, Kah Woh turut memgumumkan peruntukan RM300,000 yang disumbangkan Pejabat Timbalan Menteri Pendidikan untuk tujuan penyelenggaraan, naik taraf dan baik pulih fasiliti serta infrastruktur tujuh sekolah yang dilawati itu.

Ia membabitkan sebuah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK); Sekolah Menengah Kebangsaan (dua); Sekolah Kebangsaan (satu); Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (dua) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (satu).

Semalam, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) merayu KPM mengeluarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 lebih awal iaitu pada 23 Mei ini.

Setiausaha Agungnya, Fouzi Singon dilaporkan berkata, ini kerana guru-guru sudah membuat perancangan awal sempena cuti persekolahan yang bermula pada 25 Mei ini.

“Jika mengikut kenyataan media KPM, keputusan akan dikeluarkan pada 27 Mei, kebanyakan guru-guru sudah berada di kampung halaman masing-masing dan ada juga guru sudah merancang percutian bersama keluarga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini