comscore
Tumpuan :
Nasional

KPM umum kadar harga baharu RMT Bermula 6 Nov

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan bahawa kadar baharu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi seorang murid dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk Semenanjung Malaysia.

Manakala RM3.00 kepada RM4.00 bagi Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Kadar baharu ini berkuat kuasa mulai 6 November ini.

Pelaksanaan kadar baharu ini memanfaatkan seramai 791,477 orang murid penerima RMT di seluruh negara.

Penambahbaikan kadar untuk makanan bermasak program RMT diumumkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa pembentangan Bajet 2023 pada Oktober lalu.

Datuk Seri Tengku Zafrul berkata, kenaikan kadar RMT berkenaan membabitkan peruntukan RM777 juta, iaitu peningkatan signifikan berbanding RM280 juta pada 2020, atas peluasan penerima, kenaikan kadar dan penyediaan bekalan susu setiap hari.

Ia turut memberi manfaat 7,300 pengusaha makanan dan pembekal susu tempatan.

RMT dilaksanakan sejak 1979 bagi memastikan murid daripada keluarga susah, memperoleh khasiat makanan yang diperlukan.

Kerajaan sudah menambah baik RMT sejak Bajet 2022 dengan menyediakan bekalan susu pada setiap hari persekolahan anak-anak.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memberi jaminan peruntukan tambahan bagi RMT tidak terjejas walaupun Bajet 2023 belum diluluskan Dewan Rakyat.

Beliau berkata, kenaikan kadar RMT tidak akan terjejas kerana kadar itu tidak menggunakan peruntukan untuk tahun depan, sebaliknya menggunakan dana sedia ada untuk tahun ini.

 

Loading...
Terkini