comscore
Tumpuan :
Nasional

KPN luang masa bersama anak-anak autistik

 

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sempat meluangkan masa bersama anak-anak autistik di Pusat Autisme Pengaman PDRM di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) pagi tadi.

Beliau hadir bagi merasmikan Sambutan Hari Kesedaran Autisme 2024 bersama lebih 30 pelajar dan alumni terdiri daripada anak warga PDRM yang menerima pendidikan intervensi di pusat berkenaan.

Majis itu turut dimeriahkan dengan beberapa aktiviti bermula pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari.

Menurut Razarudin, majlis tersebut dapat meningkatkan kesedaran masyarakat supaya lebih peka dan prihatin terhadap komuniti tersebut.

“Saya difahamkan, dari awal pengoperasian pada Ogos 2020 sehingga kini, seramai 18 anak-anak autisme berjaya menamatkan pembelajarannya di pusat ini.

“Manakala, 25 kanak-kanak autisme lagi masih menerima pendidikan intervensi awal yang berkesan dan jumlah keseluruhan pelajar adalah seramai 43 orang,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa; Pengerusi Jawatankuasa Pusat Autisme Pengaman PDRM Tan Sri Hussin Ismail dan Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Seri Azmi Abu Kassim.

Menurutnya lagi, beliau kagum dan berbangga dengan ketabahan ibu bapa dan penjaga yang bertungkus lumus membesarkan anak-anak syurga berkenaan.

Katanya, pucuk kepimpinan PDRM sentiasa memberi keutamaan dan sokongan kepada kebajikan anggota dan pegawai mereka terutama mereka yang mempunyai anak berkeperluan khas ini.

“Justeru, saya begitu berbangga dengan ibu bapa dan penjaga yang dikurniakan kesabaran dan ketabahan dalam menempuhi ujian membesarkan anak-anak syurga ini.

Untuk rekod, Pusat Autisme Pengaman adalah institusi swasta yang dikendalikan dan dimiliki sepenuhnya oleh Yayasan Pengaman Malaysia.

Pusat ini telah didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan diselia oleh Pengurus Besar Yayasan Pengaman Malaysia, Azura Izham.

Pusat yang ditubuhkan pada Ogos 2020 ini bermula dengan hanya enam pelajar dan empat orang guru atau pegawai intervensi, tetapi kini bilangan pelajar telah meningkat kepada 25 orang beserta tujuh guru termasuk pegawai intervensi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini