Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggerakkan Misi Bantuan Pasca Banjir KPT melalui Briged Sukarelawan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) ke negeri yang terjejas dengan bencana itu.
KPT dalam kenyataan memaklumkan, seramai 878 sukarelawan terdiri daripada staf dan pelajar mula digerakkan dalam menyantuni dan memberikan kelegaan kepada mangsa terutama fasa pasca banjir.
“Turut digerakkan adalah pelbagai aset milik IPT yang digunakan bagi memudahkan capaian ke lokasi yang terjejas meliputi dua bot, 24 bas, enam lori, 15 van dan 17 kenderaan pacuan empat roda,” katanya hari ini.
Selain itu, KPT juga menyediakan pelbagai kelengkapan tambahan antaranya 56 unit penyembur air (water jet), empat pam air (waterpump), tiga tangki air dan sembilan unit generator bagi melancarkan kerja pembersihan bangunan awam seperti sekolah serta premis di kawasan yang terjejas.
Menurut KPT, perkhidmatan bantuan sokongan psikologi kepada mangsa yang terkesan secara individu mahupun berkelompok juga ditawarkan kepada mereka yang memerlukan.
“Selain Kedah dan Pulau Pinang, misi bantuan ini akan turut dipanjangkan kepada semua kawasan banjir yang terjejas di Perak dan Perlis dan bersedia menggerakkan di kawasan lain sekiranya diperlukan,” katanya.
Tambah KPT, pihaknya komited memastikan mangsa banjir di negeri utara tanah air dibantu dengan penyampaian bantuan dapat disalurkan dengan lebih berkesan.
KPT berharap dengan usaha yang digerakkan itu dapat memberi kelegaan kepada mangsa banjir serta mendoakan agar mereka diberikan kekuatan menghadapi dugaan tersebut.
Berdasarkan laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat jam 9 pagi tadi, sebanyak 29 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di Kedah yang menempatkan 4,816 mangsa termasuk 95 bayi membabitkan 1,535 keluarga.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.