comscore
Tumpuan :
Nasional

KPT minta Akta 605 disemak semula

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan & Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meminta Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605) disemak semula bagi memberikan pengecualian dalam konteks universiti awam (UA) kerana ia dianggap sebagai badan berkanun.

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, usaha itu bagi membolehkan iklim dalam sesebuah UA itu tidak terkongkong dengan ketakutan untuk menyampaikan pandangan mereka.

“Maka dalam konteks sebuah universiti awam itu, kita perlu melihat dalam konteks universiti itu, tidak terlibat dalam keseluruhan pekeliling secara awam atau secara umum yang diberikan kepada semua pihak yang terlibat yang tertakluk di dalam kategori yang disebutkan sebagai badan-badan berkanun.

“Ini antara langkah yang kita tidak lakukan dan langkah ini dianggap antara langkah ke hadapan (dan) radikal, saya sudah mencuba untuk melakukan perkara ini bagi membolehkan supaya iklim dalam sebuah universiti itu tidak terkongkong dengan ketakutan untuk menyampaikan pandangan mereka.

“Dengan syarat dalam tradisi keintelektualan, kesarjanaan, seseorang yang akan bercakap itu dia tidak akan bercakap secara merapu tanpa fakta dengan membuat teori-teori yang bukan-bukan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah di Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya, di bawah Akta 605 itu terdapat 12 institusi yang mendapat pengecualian.

Sebelum ini, bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkongsi keluhan warga akademik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung arahan supaya pegawai awam tidak boleh mengeluarkan kenyataan awam termasuk di media sosial.

Menerusi perkongsian yang dibuat di aplikasi X, Dr Maszlee turut berkongsi surat pekeliling baharu yang dikeluarkan Jabatan Pendaftar UKM kepada seluruh warga akademik dan kakitangannya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini