Oleh: Zahir Senapiah
PASIR GUDANG: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menolak dakwaan syarat permohonan biasiswa atau pinjaman yang ketat menjadi punca ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) gagal melanjutkan pengajian. Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebaliknya berkata semua pelajar boleh memohon pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sekiranya berminat melanjutkan pelajaran.
“Saya ingat pelajar yang tak nak masuk, SPM itu mungkin yang tak lulus dari tingkatan atau tak cukup atau dia mohon pilih satu subjek yang tak sesuai dengan kelayakan dia itu,” katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya, Nur Nazirah Abdullah bahawa syarat ketat pembiayaan pinjaman pendidikan menyebabkan ramai lepasan SPM gagal melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi (IPT).
Ia kerana mereka tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi.
Turut dibangkitkan, syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bahawa hanya pelajar yang mendapat 9A dalam peperiksaan SPM layak memohon tajaan.
Mohamed Khaled sebelum itu diberi taklimat Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Politeknik Ibrahim Sultan di sini, pagi tadi.