comscore
Tumpuan :
Nasional

KPT tidak halang aktiviti luar di IPT buat masa ini

Menteri Pendidikan Tinggi, merangkap Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menghadiri Majlis Mesra Ria Aidilfitri Veteran UMNO Johor di pekarangan Pejabat Perhubungan UMNO Johor, hari ini. – Foto NSTP

JOHOR BAHRU: Tiada halangan bagi pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) melakukan aktiviti luar dan beriadah ketika ini selagi cuaca panas tidak bertambah teruk dan menjejaskan kesihatan.

Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata setakat ini, pihaknya tidak mengeluarkan pekeliling atau garis panduan aktiviti luar dalam keadaan cuaca panas berikutan aktiviti luar seperti sukan tidak wajib kepada semua pelajar, malah kuliah boleh berlangsung seperti biasa berikutan kebanyakan bilik kuliah di negara ini menggunakan pendingin hawa.

“Kebanyakan bilik kuliah di negara kita menggunakan pendingin hawa. Jadi, tidak timbul isu KPT perlu keluarkan arahan atau garis panduan tertentu berhubung aktiviti pelajar IPT dalam keadaan cuaca panas.

“Mungkin jika keadaan cuaca panas semakin melampau, aktiviti luar di IPT akan dinasihatkan ditangguhkan sementara. Namun, aktiviti lain, termasuk kuliah tetap akan berjalan seperti biasa berikutan ia dilaksanakan dalam bangunan.

“Aktiviti sukan bergantung kepada keadaan cuaca semasa apatah lagi aktiviti sukan tidak wajib ke atas semua pelajar IPT. Jadi, buat masa ini KPT tiada halangan untuk pelajar melakukan aktiviti luar serta beriadah sehingga cuaca menjadi lebih buruk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Mesra Ria Aidilfitri Veteran UMNO Johor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Khamis lalu, semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dilaporkan diarah menangguhkan aktiviti luar membabitkan murid, guru dan pensyarah susulan fenomena cuaca panas.

KPM memaklumkan, larangan itu termasuk untuk aktiviti seperti merentas desa, kawad, sukan, permainan, perkhemahan serta pengajaran dan pembelajaran (PdP) luar bilik darjah.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dilaporkan memaklumkan, KPM sudah mengeluarkan pekeliling berhubung larangan sebarang aktiviti luar bagi mengelak serangan strok haba.

Loading...
Terkini