comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] KPT tidak tolak penggunaan aplikasi ChatGPT dalam pendidikan tinggi

 

KOTA SAMARAHAN: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak akan menghalang penggunaan aplikasi ChatGPT dalam membantu proses pembelajaran di Malaysia.

Syaratnya, semua penggunaan aplikasi ChatGPT perlu mengikuti dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin berkata sistem pendidikan di negara ini tidak dapat mengelak daripada menggunakan aplikasi terbabit dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin semasa melakukan lawatan kerja ke UNIMAS

“Kalau kita tolak benda itu, ia akan tetap ada. Garis panduan dahpun dikeluarkan oleh pihak Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT). Kita tidak tolak tapi kita kena tahu dia punya had dan sebagainya.”

Beliau berkata, penggunaannya haruslah berasaskan perkara yang bersesuaian dan dapat dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara.

Ini kerana aplikasi terbabit boleh digunakan sepenuhnya oleh pelajar untuk menghasilkan kertas kerja tanpa input sebenar dilakukan oleh mereka.

“Kalau kita lihat pada satu keadaan yang berlaku dalam perbicaraan di Amerika Syarikat, peguam gunakan ChatGPT dan aplikasi ini telah memetik kes-kes yang tidak wujud. Inilah kebolehan ChatGPT.

Jadi persoalannya sekarang adalah dalam keadaan apa boleh dipakai dan sebaliknya.

Semua itu perlu ada garis panduan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja rasmi ke Universiti Malaysia Sarawak, Unimas di sini.

Antara yang turut serta dalam lawatan itu ialah Pengerusi Kumpulan Media Prima yang juga Ahli Lembaga Pengarah Unimas, Datuk Seri Syed Hussian AlJunid.

Pada Januari lalu, K-P-T telah mengusulkan kertas putih A New Horizon for Science, Technology and Innovation – A Strategy for Malaysia yang bertindak memacu perubahan pada aliran pembelajaran di negara.

Kertas putih itu juga berperanan meneliti pengurusan isu gangguan teknologi ke atas sektor pendidikan negara termasuk penggunaan aplikasi ChatGPT.

Loading...
Terkini