Tumpuan :
Nasional

KPT tunggu laporan kematian pelatih PALAPES didakwa didera

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mendapatkan laporan penuh daripada sebuah universiti tempatan, susulan kematian pelajarnya pada 13 November lalu, yang didakwa akibat didera.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya masih menunggu laporan terbabit sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

“Kita akan tunggu laporan daripada pihak (universiti) ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS) sempena Festival Idea Putrajaya di sini, hari ini.

Media hari ini melaporkan seorang pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) universiti berkenaan meninggal dunia pada 13 November lalu selepas didakwa menjalani sesi latihan jerih dan tidak berjadual.

Bapa pelatih terbabit juga mendakwa kejadian itu membabitkan penderaan secara fizikal.

Dalam laporan kepada polis, bapa mangsa berkata anaknya mengalami pelbagai penderaan termasuk dipijak dadanya serta dipaksa melakukan pelbagai aksi termasuk seperti kuda dan ditunggang oleh jurulatihnya.

Difahamkan, universiti akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kes berkenaan dalam tempoh terdekat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini