Tumpuan :
Nasional

KPWKM sediakan peruntukan RM39.9 juta untuk bantuan bencana

Datuk Seri Noraini Ahmad ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyediakan sejumlah RM39.9 juta peruntukan bagi memastikan keperluan makanan dan barangan keperluan bencana kepada mangsa disalurkan sebaiknya bagi tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, daripada jumlah itu, RM12 juta adalah untuk peringkat persekutuan manakala RM27.9 juta untuk peringkat negeri termasuk peruntukan bagi depoh simpanan yang meliputi barang keperluan berkaitan.

“Kita sediakan barang keperluan asas seperti khemah, tikar, dan selimut dan waktu yang sama kita siapkan juga bekalan pek makanan ataupun makanan bermasak ataupun retort.

“Kita juga siapkan barangan keperluan khas terutamanya kepada golongan OKU (Orang Kurang Upaya), warga emas, wanita, kanak-kanak dan makanan kering. Ini terutamanya untuk diberikan di kawasan yang terputus hubungan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini, selepas 17 orang Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam sesi perbahasan rang undang-undang itu.

Mengenai kesiapsiagaan KPWKM menghadapi monsun timur laut, beliau berkata 4,590 pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 1,047 orang terdiri daripada psychological support team dan 6,073 sukarelawan JKM digerakkan bagi tujuan tersebut.

Sementara itu Noraini turut memaklumkan JKM sedang menyediakan satu kertas dasar berhubung pemberian insentif kepada sukarelawan yang terlibat dalam bantuan bencana di negara ini.

Dewan Rakyat kemudiannya meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi KPWKM selepas ia mendapat lebih suara bersetuju.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini