comscore
Tumpuan :
Nasional

KPWKM sediakan PSSS pertama di Malaysia, beri khidmat psikososial

Foto: NSTP

RANTAU PANJANG: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) membuka Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Transit pertama di Malaysia bernilai RM1.5 juta.

Ia ditempatkan di tapak kawasan Perumahan Kastam Rantau Panjang di sini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, PSSS Transit ditubuhkan melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi membantu menangani isu psikososial khususnya golongan sasar di bawah KPWKM.

Menurutnya, sebelum ini kementerian telah mewujudkan PSSS secara bergerak (mobil) sejak 2021 dengan memberi khidmat secara ‘outreach’ terus ke kawasan tumpuan dan kali ini menaik taraf dengan mewujudkan PSSS Transit setempat di sini.

“PSSS Transit beroperasi sebagai pusat rujukan setempat dan intervensi kepada klien dengan memberikan perlindungan awal dan kelegaan emosi kepada mangsa yang mengalami isu psikososial.

“Di sini juga turut menawarkan perkhidmatan psikososial yang holistik kepada masyarakat seperti sesi bimbingan dan kaunseling serta transit sementara berbentuk ‘immediate relief’ kepada kumpulan sasar yang memerlukan.

“Ia juga salah satu inisiatif KPWKM dalam membantu menangani masalah psikososial yang semakin nenular membabitkan isu seperti keganasan rumah tangga, pasca penceraian, pengabaian, penderaan, gangguan seksual, pemerdagangan manusia, kesihatan mental, ketagihan dadah dan isu rujukan kebajikan,” katanya pada sidang media di majlis perasmian Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Transit Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Perumahan Kastam hari ini.

Tamahnya, PSSS Transit itu dilengkapi dengan fasiliti seperti pejabat pentadbiran, surau, pusat aktiviti serta blok penginapan yang dilengkapi dengan katil, bilik mencuci pakaian, ruang istirehat dan pantri.

“Untuk makluman juga, bangunan PSSS Transit ini adalah tapak kuarters kakitangan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang diserah kepada KPWKM pada 26 September 2021 sebelum diubah suai mengikut spesifikasi keperluan.

“PSSS juga melantik sukarelawan dalam kalangan pemimpin komuniti seperti penghulu atau ketua masyarakat untuk mengenal pasti permasalahan sebelum dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan Lembaga Pembangunan Penduduk Keluarga Negara (LPPKN).

“Kami berharap agar PSSS dapat digiat dan informasi mengenai perkhidmatan ini disebar luas hingga ke akar umbi untuk membantu masyarakat dalam menangani masalah psikososial demi keharmonian dan kesejahteraan negara,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini