Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Dua pekerja kontrak warga Indonesia maut manakala seorang lagi warganegara sama cedera parah apabila kren pengangkat dinaiki mereka terbalik ketika membuat kerja-kerja mengecat bangunan.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian berlaku di Blok A, Fasa 4C, Presint 8, di sini kira-kira jam 9.20 pagi tadi.
“Pusat Kawalan Daerah (DCC) Putrajaya telah terima panggilan daripada orang awam pada jam 9.40 pagi memaklumkan berlaku satu kemalangan melibatkan satu kren terbalik di Blok A, Fasa 4C, Presint 8,” katanya dalam kenyataan.
Mangsa, Sukawan Wilkhan, 54, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Danianto Yusak, 53, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Seorang lagi mangsa yang dikenal pasti sebagai Yasin, 56, juga dari Indonesia pula mengalami cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Putrajaya.
Mengulas lanjut, menurut Aidi Sham, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada ‘jack hidraulik’ jentera telah tenggelam dalam tanah dan menyebabkan kren hilang keseimbangan lalu terbalik.
“Ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa berada di atas ‘bucket kren’ untuk kerja mengecat bangunan.
“Lokasi kemalangan adalah kawasan tanah lapang tidak berturap,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya, Abdul Manaf Che Isa dalam kenyataan memaklumkan, seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Presint 7 serta Presint 14 digerakkan ke lokasi.
“Komander operasi mengarahkan anggota membantu pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak polis mengangkat mangsa untuk dibawa masuk ke dalam ambulans dan kenderaan polis.
“Seterusnya anggota melakukan kerja-kerja pembersihan tumpahan cat di lokasi kejadian,” katanya.
Tambahnya, anggota bomba di luar penugasan turut membantu melaksanakan bantuan kecemasan jantung dan pernafasan (CPR) ketika awal kejadian terhadap mangsa.
Operasi membabitkan tujuh jentera itu tamat pada jam 10.57 pagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.